BEIJING – Salah sebuah pencakar langit tertinggi di China dikosongkan hari ini selepas bangunan itu mula bergoyang, mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam kejadian di bandar Shenzhen, selatan negara itu.
Bangunan SEG Plaza setinggi hampir 300 meter itu mula bergegar sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) sekali gus mendorong pihak berkuasa memindahkan orang ramai di dalamnya.
Media tempatan melaporkan bahawa bangunan itu ditutup setakat pukul 2,40 petang (waktu tempatan) tadi.
Siap pada tahun 2000, menara itu itu menempatkan premis barangan elektronik di samping berbilang pejabat.
Sementara itu, pegawai-pegawai pengurusan masih menyiasat punca menara itu bergoyang, demikian menurut satu kenyataan di laman sosial tempatan, Weibo.
“Selepas memeriksa dan menganalisis data beberapa stesen pengawasan gempa bumi di seluruh Shenzhen, tiada gempa bumi berlaku di bandar ini hari ini,” kata kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut bahawa tiada keretakan pada bangunan dan kawasan di sekitarnya. – AFP