PETALING JAYA – Langkah Majalah 3 menghasilkan satu dokumentari khas berkaitan pandemik Covid-19 dan situasi semasa negara menyentuh hati pengguna laman sosial Twitter yang tular semalam.
Menerusi sebuah video yang berdurasi seminit itu, Majalah 3 menemu ramah seorang jururawat yang telah mengendalikan banyak pesakit Covid-19. Jururawat itu kelihatan sebak apabila teringat detik-detik terakhir bersama pesakit yang meninggal dunia akibat wabak tersebut.
“Kami ini manusia biasa, kita juga pernah menangis dan kita jugalah orang yang terakhir memegang tangan mereka (pesakit).
“Kami tidak fikir bangsa dan agama kerana apabila pesakit itu meninggal, kamilah yang akan memegang mayat mereka. Kawan-kawan berbangsa Melayu yang lain akan mengucap,” katanya setelah tidak dapat menahan sebak ketika ditemu bual.
Menurut seorang pengguna laman Twitter, @Phonybonny berkata, dia tidak dapat menahan sebak ketika menonton dokumentari itu walaupun dalam keadaan ‘mute’ dan melihat jururawat tersebut menangis.
“Saya yang tengok tidak membuka suara pun sebak apabila melihat jururawat itu menangis menceritakan situasinya yang mengendalikan mayat pesakit Covid-19,” ciapnya.
@ShafienAkhmal, seorang pengguna Twitter yang kehilangan bapanya akibat Covid-19 turut meluahkan rasa sedih dan kesal terhadap pemergian bapanya tanpanya dan keluarga yang lain di sisi.
“Apabila jururawat cerita keadaannya, teringat dekat arwah ayah. Ketika arwah ayah meninggal, kami sekeluarga tiada di sisinya dan rasa bersalah itu sampai sekarang masih terasa,” tulisnya.
Sementara itu, menurut @hnnhsn, jumlah kes yang semakin meningkat membuatkan fasiliti hospital semakin terhad.
“Kakak saya tidak tahan kerana pihak hospital terpaksa menampung jumlah pesakit yang semakin ramai. Semalam sahaja di hospital kakak saya bekerja menambah lebih 20 orang pesakit Covid-19. Hospital tersebut memang tiada kelengkapan yang cukup tetapi terpaksa kerana Hospital Sungai Buloh sudah padat,” kata @hnnhsn. – K! ONLINE.