KUANTAN – Pertambahan kenderaan di Plaza Tol Gombak sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa kelmarin mencetuskan pelbagai persoalan lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Difahamkan, kebanyakan pengguna yang melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak mempunyai kebenaran termasuklah pasangan jarak jauh (PJJ).
Namun, sejauh mana alasan itu benar kerana terdapat individu dipercayai memanipulasi kebenaran yang diberikan oleh kerajaan.
Menurut sumber, terdapat pasangan suami isteri dilaporkan membuat permohonan merentas negeri dengan menaiki kenderaan berasingan asalkan dapat pulang ke kampung.
“Misalnya, suami mendakwa isteri berada di Kelantan, manakala isterinya turut membuat permohonan sama. Mereka menaiki kenderaan berasingan pulang ke kampung.
“Ada juga kes semasa pemeriksaan dibuat terhadap sebuah bas ekspres bertingkat, pasangan menaiki kenderaan sama tetapi duduk di tingkat yang berlainan,” katanya di sini semalam.
Keadaan itu menyumbang kepada pertambahan kenderaan di jalan raya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan teliti bagi memastikan setiap individu yang masuk ke negeri ini mempunyai borang rentas negeri yang sah.
Katanya, bukti yang berkaitan perlu disertakan bagi memastikan kebenaran itu tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu.
“Semua kenderaan yang melalui Plaza Tol Bentong memiliki surat rentas negeri yang diluluskan oleh balai polis.
“Jika diikutkan memang ada (permohonan) yang boleh dipertikaikan, namun balai-balai berkenaan meluluskan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pemeriksaan mendapati majoriti kenderaan yang diperiksa memiliki dokumen bagi tujuan perjalanan ke universiti.
“Mereka yang gagal mempamerkan dokumen rentas negeri akan dikompaun. Pada malam tadi (kelmarin) sebanyak 22 kompaun telah dikeluarkan,” katanya. -K! ONLINE