PETALING JAYA – Pelakon Wafariena tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menuduhnya sebagai punca perpisahan hubungan aktor Syazuwan Hassan dan bekas teman wanita.
Wafariena atau nama sebenarnya Wafariena Roslan, 26 memberitahu, tindakan tersebut akan dilakukan sekiranya individu tersebut tidak berhenti daripada memburukk-burukkan namanya dalam media sosial.
Difahamkan, individu tersebut ialah bekas teman wanita Syazuwan.
Malah, bekas peserta program Vokal Mania itu juga terkilan apabila dilemparkan gelaran kesat seperti perempuan sundal dan minah rempit.
“Sebenarnya saya sudah tahu perkara ini beberapa hari lalu, cuma baru viral hari ini tetapi dibiarkan sahaja sebab saya tidak bersalah.
“Namun, sangat terkilan apabila dia mula menggelar saya sundal sedangkan kami tidak mengenali antara satu sama lain pun.
“Saya tidak marah dia nak tuduh saya perampas sebab saya tidak buat pun perkara itu tetapi saya sedih apabila digelar sebegitu rupa,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Nurul Ain dalam drama 7 Hari Mencintaiku itu juga berharap agar wanita tersebut berhenti daripada menjaja dan memburuk-burukkan namanya dalam media sosial.
“Walaupun saya tak marah, lebih baik dia berhenti daripada menuduh saya.
“Jangan nanti sampai pula surat saman malu kepadanya,” katanya lagi.
Mengulas lanjut dakwaan hubungannya dengan Syazuwan, Wafariena memberitahu dia dan pelakon filem Pulang itu hanyalah kawan.
“Saya dan dia hanya sahabat di set pengambaran. Tiada istilah bercinta pun. Berkasih sayang pun hanya dalam drama.
“Jadi, kepada yang melemparkan kata-kata yang teruk kepada saya, berhentilah tabur fitnah. Saya tidak terlibat langsung dalam masalah hubungan mereka,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Wafariena merupakan pasangan heroin kepada Syazuwan dalam drama Baby Tak Gila yang disiarkan menerusi Unifi TV sekitar Mac lalu.
Hari ini, sebuah portal hiburan melaporkan seorang wanita dipercayai bekas teman wanita Syazuwan meluahkan rasa kecewanya dalam media sosial selepas hubungan yang dibina selama 11 tahun musnah.
Dalam perkongsian tersebut, wanita tersebut turut menuduh Wafariena sebagai punca perpisahan mereka. – K! ONLINE