fbpx

Kuasa vokal jadi taruhan Ara Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARA JOHARI

PENYANYI Ara Johari sememangnya amat dikenali dengan vokal mantap dalam membawakan pelbagai genre lagu, khususnya berentak pop rock.

Terbaharu, Ara tampil dengan sedikit kelainan menerusi single berjudul Tetap Aku Cinta sentuhan tiga komposer iaitu Amy Bong, Nahruf dan MFMF.

Bagi Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 25, Tetap Aku Cinta mempertaruhkan power vocal dalam sebahagian besar lagu tersebut.

“Ya, saya memang meminta supaya komposer berkenaan menghasilkan sebuah lagu yang ada getaran power vocal.

“Jika ada rezeki, saya sendiri ada sasaran untuk membawa dan mempertaruhkan lagu ini ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pada edisi akan datang,” katanya.

Berkongsi sedikit mengenai single terbaharunya itu, Ara memberitahu, lagu tersebut mengisahkan percintaan yang terganggu dek persekitaran.

“Kalau sebelum ini, biasanya lagu cinta yang saya bawakan berkisarkan gangguan pihak ketiga, namun Tetap Aku Cinta ada kelainan tersendiri.

“Di penghujung cerita, selepas melalui pelbagai ujian dan dugaan, pasangan itu akhirnya masih tidak dapat melepaskan antara satu sama lain,” ujarnya.

Berkongsi mengenai proses penghasilan naskhah terbaharunya, Ara tidak menolak bahawa dirinya kerap kali dirundung rasa gusar dan takut sekiranya karya yang dipertaruhkan tidak dapat menandingi lagu-lagu terdahulu.

MUNCUL dengan single baharu berjudul Tetap Aku Cinta, Ara meletakkan sasaran mahu ke pentas AJL menerusi lagu berkenaan.
– FARIZ RUSADIO

“Rasa gusar dan risau memang ada. Jadi, setiap kali keluar dengan lagu baharu, saya akan cuba susun melodinya sebaik mungkin.

“Kalau tak dapat jadi yang terbaik, dapat jadi lebih baik sedikit pun sudah mencukupi.

“Asalkan lagu saya diterima pendengar pun dah kira okey bagi saya,” katanya yang sudi menerima apa jua kritikan membina serta pandangan ramai berhubung lagu baharunya.

Dalam perkembangan lain, Ara kini sibuk dan memfokuskan perniagaan di gerai makanannya, Ara Kitchen yang baharu sahaja dibuka di Masok Food Court, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Memfokuskan masakan dan resipi popular dari Negeri Sembilan, Ara memberitahu, dia sendiri akan mengendalikan bahagian operasi masakan lauk-pauk agar kualiti terus konsisten dan terjaga.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak perniagaan ini membantu saya untuk menampung semula kerugian yang dialami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” tuturnya.

Jelas Ara lagi, dia bukan selamanya akan bergelar penyanyi.

Setidak-tidaknya, perniagaan yang diusahakan boleh dijadikan sebagai persiapan awal jika sesuatu yang tidak diingini terjadi kepada karier seninya.

Masok Food Court turut dijayakan bersama rakan artis seperti Aiman Tino, Ismail Izzani, Nabila Razali, Ayie Floor 88, Bella Astillah, Uyaina Arshad dan Raja Syahiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI