PADANG BESAR – Sekumpulan penyeludup ketum bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan pacuan empat roda yang membawa lebih satu tan daun tumbuhan tersebut sebelum terbabas di kawasan kebun getah di Chuping dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengesan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki beberapa individu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, anggota yang menjalankan tugas rondaan Op Benteng itu cuba menahan kenderaan tersebut, namun pemandunya terus memecut laju.
“Anggota terus mengejar mereka dan turut menggunakan pembesar suara dengan memperkenalkan diri sebagai polis daripada Aksem Chuping serta mengarahkan pemandu berhenti.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan kebun getah, kenderaan itu terbabas dan beberapa suspek lelaki melarikan diri meninggalkan kenderaan dengan enjin masih hidup,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anggota cuba mengejar mereka tetapi tidak berjaya.
“Hasil pemeriksaan menjumpai 29 guni putih yang di dalamnya mengandungi 1,015 kilogram daun ketum bernilai RM30,450,” ujarnya. – K! ONLINE