BRUSSELS, BELGIUM – Sekurang-kurangnya 200 juta suntikan vaksin Covid-19 telah diberikan di Kesatuan Eropah (EU) setakat hari ini, demikian menurut data agensi berita AFP berdasarkan angka rasmi negara-negara blok berkenaan.
Setakat pukul 4.30 petang tadi (waktu Malaysia) sekurang-kurangnya 200 juta dos vaksin telah disuntik di EU.
Sekurang-kurangnya 52.9 juta orang telah divaksinasi sepenuhnya melibatkan dua dos vaksin koronavirus BioNTech/Pfizer, Moderna dan AstraZeneca atau satu dos vaksin suntikan tunggal Johnson & Johnson.
Angka tersebut bersamaan 11.8 peratus populasi EU.
Data tersebut menunjukkan Malta mendahului senarai vaksinasi EU dengan 32.5 peratus penduduknya mendapat imunisasi sepenuhnya manakala Bulgaria di tempat tercorot apabila cuma 6.1 rakyatnya sudah mendapat pelalian.
Negara-negara utama EU seperti Sepanyol mencatat 15.4 peratus rakyat yang mendapat imunisasi sepenuhnya diikuti Itali (14.6 peratus), Perancis (13.5 peratus) dan Jerman (11.1 peratus).
Di seluruh dunia pula data AFP menunjukkan sebanyak 1.5 bilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan.
Israel memberikan pelalian penuh kepada 59 peratus penduduknya diikuti Amerika Syarikat (35 peratus) dan Britain (30 peratus). – Agensi