KETIKA pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilihat berpotensi untuk meraih keputusan terbaiknya semula, namun masalah enjin jentera merosakkan impiannya untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada Grand Prix (GP) Perancis malam kelmarin.
Pada saingan tersebut, Hafizh yang beraksi bersama NTS RW Racing GP memulakan perlumbaan positif sewaktu di pelepasan grid apabila berjaya memintas seorang demi seorang pelumba untuk berada di kedudukan ke-17 meskipun memulakan perlumbaan di petak ke-27.
Keadaan litar yang sedikit basah menyebabkan beberapa pelumba terjatuh sekali gus membuka ruang kepada Hafizh untuk berada di kedudukan kelompok 10 terbaik.
Bagaimanapun, pada tujuh pusingan terakhir, Hafizh mengakui jenteranya berdepan masalah apabila mula hilang daya kuasa pecutan selepas enjin jenteranya mula panas hingga mencecah 130 darjah Celcius (°C).
“Saya benar-benar kecewa dengan perlumbaan hari ini (kelmarin), saya dapat bersaing dengan kumpulan enam terbaik. Bagaimanapun, ketika tujuh pusingan terakhir, tiba-tiba enjin jentera saya menjadi panas daripada suhu normal 80 darjah celcius (°C) kepada 130°C dan hilang kuasa pecutan,” katanya.
Meskipun menamatkan perlumbaan di posisi ke-16, Hafizh berjaya memperoleh satu mata selepas keputusan pelumba Sepanyol, Lorenzo Dalla Porta yang menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dibatalkan kerana melanggar peraturan.
Keputusan pembatalan dibuat setelah FIM mendapati berat gabungan Dalla Porta dan jentera Moto2 hanya 216 kilogram (kg) dan kurang satu kg berbanding had minimum yang ditetapkan iaitu 217kg.
Panel FIM MotoGP mendapati kegagalan pelumba Italtrans Racing Team itu yang mencapai berat minimum 217kg telah melanggar Artikel 2.5.4.1 Peraturan Kejuaraan Dunia GP FIM.
“Mengambil kira faktor tersebut, Panel FIM MotoGP Stewards memutuskan untuk membatalkan keputusan tersebut mengikut Artikel 3.2.1 dan 3.3.2.3,” jelas FIM dalam satu kenyataan semalam.