JOHOR BAHRU – Lima pengedar dadah termasuk seorang wanita Indonesia kempunan menyeludup 125.78 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu bernilai RM4.52 juta apabila mereka diberkas dalam dua operasi di sekitar Muar dekat sini di antara 12 hingga 14 Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu yang diberkas terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia berusia antara 36 hingga 49 tahun.
Menurutnya, serbuan pertama dijalankan pukul 1 tengah hari di sekitar Parit Jawa, Muar hasil risikan Unit Risikan Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.
“Dalam operasi ini, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama sejumlah dadah jenis syabu sebelum hasil siasatan membawa kepada tangkapan dua lelaki dan seorang wanita.
“Hasil serbuan ini, polis berjaya merampas 84kg syabu bernilai RM3.02 juta selain merampas dua buah kereta serta menyita satu akaun bank bernilai RM36,762.50,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket itu menjadikan rumah sewa jenis kampung sebagai transit untuk menyimpan bekalan dadah dari utara tanah air sebelum diseludup keluar ke negara jiran Indonesia.
Dalam serbuan kedua pukul 7 malam pada 14 Mei, polis menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar, Muar.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut pasukan SJR menjumpai 41.78kg dadah disyaki dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta di dalam kereta Toyota Camry yang disyaki untuk dibawa keluar ke Indonesia.
Jelasnya, polis turut menyita satu akaun bank mengandungi wang tunai RM1,612.94 selain ujian saringan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 21 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE