IPOH – Jabatan Perhutanan Perak menahan dua buah lori membawa muatan 1,000 batang buluh dan hasil hutan tanpa kebenaran di Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan dan sekatan jalan raya (SJR) Slim River semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tangkapan pertama di Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan dilakukan penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan susulan maklumat awam mengenai sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, semasa pemantauan dilakukan, didapati seorang pemandu lori berada di lokasi tersebut dan disyaki membawa muatan hasil hutan.
“Lori itu ditahan di simpang masuk Kuala Bikam-Jalan Teluk Intan dan hasil pemeriksaan mendapati, lori tersebut membawa hasil hutan iaitu sebanyak 1,000 batang buluh.
“Pemandu lori yang gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan itu enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan membuang buluh yang dibawa ke tepi jalan sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pemandu lori itu bagaimanapun menyerah diri selepas lapan jam lori dipandunya ditahan dan siasatan mendapati, buluh tersebut digunakan sebagai pancang untuk tanaman sayur.
Katanya, pada hari sama, sebuah lori membawa muatan hasil hutan ditahan di SJR Tol Slim River dan pemandunya gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Jabatan Perhutanan.
“Pemeriksaan mendapati, pemandu tersebut membawa lori dengan muatan 57 batang kayu jaras pelbagai spesies tanpa pas pemindahan.
“Kedua-dua pemandu lori yang ditahan telah dilepaskan dengan bon jaminan polis setelah keterangan diambil dan kedua-dua lori bersama muatan yang disita dibawa ke Stor Rampasan Barang Jabatan Perhutanan Perak,” katanya.
Kedua-dua pemandu lori itu boleh didakwa di bawah Seksyen 68(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan membawa hasil hutan tanpa pas pemindah.
Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE