fbpx

Diugut santau, Harris Annuar buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARRIS sudah membuat laporan polis di IPD Shah Alam, Selangor semalam selepas menerima ugutan santau daripada seorang individu tidak dikenali menerusi Instagram.

PETALING JAYA – Gara-gara menerima ugutan santau daripada individu tidak dikenali menerusi Instagramnya, pelakon Harris Annuar nekad membuat laporan polis bagi melindungi keselamatan diri.

Perkara berkenaan dikongsikan Harris, 28, dalam Instagram semalam dengan memuat naik gambarnya memegang laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Selangor. 

“Kepada pemilik Instagram @hahaha_mat yang baru saja tukar nama ke @buat_smpoi (saya tahu dia akan tukar lagi selepas ini), saya ada hadiah raya untuk awak. 

“Alhamdulillah, dengan bantuan sahabat-sahabat dalam Instagram, kami semua tahu gambar yang dipakai adalah milik orang lain. Tak lama lagi lokasi awak pun kami semua akan tahu,” tulisnya. 

Tambah pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu, dia turut menyerahkan semua bukti paparan skrin mesej ugutan yang diterima daripada individu tersebut kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

“Sekarang kita serahkan kepada polis untuk tindakan. Insya-Allah, yang paling penting kita serahkan juga segalanya kepada Allah. 

“Sekali pun awak terlepas azab di dunia, tak bermaksud awak terlepas azab di akhirat,” katanya lagi. 

Semalam, Harris memuat naik paparan skrin mesej yang diterima daripada seorang pengguna Instagram yang mengugut untuk menghantar santau kepadanya.

Terkejut dengan kiriman yang diterimanya, Harris bagaimanapun kekal bertenang dan memohon maaf andainya pernah menyakiti perasaan sesiapa selain memohon dirinya dilindungi daripada perkara buruk. 

Malah dalam kiriman sebuah video yang dimuat naik, Harris mengakui dia berasa bingung kerana tidak tahu apa kesalahan yang telah dilakukannya sehingga terpaksa menerima ugutan seperti itu. 

“Saya tak tahu salah apa. Tapi saya minta maaf andai ada sakitkan hati sesiapa, buatkan orang tak selesa tanpa sedar. Sebab kita manusia biasa, tak lari daripada kesilapan. Saya minta maaf sangat-sangat,” tuturnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI