IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengarahkan aktiviti penyelenggaraan mesin pendandang di sebuah kilang pemprosesan batu kuari di Batu 3 dekat Temoh, Tapah dihentikan serta-merta berikutan insiden mesin itu meletup semalam.
Pengarahnya, Ir. Zamzurin Maarof berkata, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati, dandang jenis thermal oil heater yang sedang dalam proses ‘start-up’ untuk beroperasi itu meletup hingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu dan sebahagian daripada komponen ‘furnace’ dandang tersebut.
“Thermal oil heater berfungsi untuk membekalkan sumber haba ke dalam ‘dryer’ bagi tujuan mengeringkan arang batu yang digunakan sebagai bahan bakar di dalam jentera ‘kiln’.
“Letupan dandang itu menyebabkan ‘burner’ tercabut di mana seorang jurutera elektrik dan dua jurulektrik melecur di muka dan tangan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, arahan menghentikan aktiviti penyelenggaraan itu sehingga siasatan lanjut dijalankan dan cadangan tindakan penambahbaikan dilakukan oleh majikan.
Katanya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – K! ONLINE