PETALING JAYA – Sebanyak 13 Kampung di Mukim Pelagat, Besut Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini sehingga 2 Jun depan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kampung yang terlibat adalah Kampung Alor Selinsing; Kampung Bukit Yong; Kampung Tok Motong; Kampung Lak Lok Dalam; Kampung Lak Lok; Kampung Padang Landak; Kampung Padang Luas dan Kampung Padang Luas Hilir.
Turut terlibat Kampung Padang Tapong; Kampung Paroh; Kampung Kubang Siam; Kampung Seberang Jerteh; Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 serta 3.
“Sehingga semalam, sebanyak 199 kes positif Covid-19 telah direkodkan di semua lokaliti tersebut selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 1,092 ujian saringan.
“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut. – K! ONLINE