KOTA BHARU – Seorang pesakit Covid-19 dikesan cuba keluar dari sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di sini pada waktu malam dengan alasan mahu membeli rokok baru-baru ini.
Bagaimanapun, pergerakan pesakit lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu yang menggunakan laluan kakitangan disedari petugas PKRC terbabit sebelum meminta agar dia kembali ke katilnya semula.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, ia merupakan kes pertama yang dilaporkan di negeri ini kerana seluruh PKRC dikawal ketat setiap masa.
Katanya, kesemua 10 PKRC di Kelantan juga dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan petugas memantau pergerakan pesakit.
“Kita menyedari dia cuba keluar pada waktu malam menggunakan laluan keluar masuk petugas kesihatan. Apabila disoal siasat, lelaki itu membuat alasan hendak keluar membeli rokok.
“Perbuatan itu boleh diambil tindakan undang-undang kerana pesakit melanggar peraturan ketika ditempatkan di PKRC,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi PKRC Gelanggang Seni, di sini yang dibuka mulai hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Azman berkata, pesakit yang melanggar peraturan atau cuba lari dari PKRC, tindakan boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, individu tersebut boleh didenda RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.