fbpx

PDRM pandang serius ancaman keselamatan oleh Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius serta menasihatkan orang ramai agar bertenang susulan ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin gerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak PDRM akan berterusan mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan.

“PDRM akan berterusan mengambil langkah-langkah perlu dari semua aspek bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

“PDRM juga akan sentiasa bersiap siaga dan akan memantau isu ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial petikan laporan oleh sebuah stesen penyiaran televisyen Israel yang mendakwa telah mengarahkan badan perisikan negara itu iaitu Shin Bet dan Mossad untuk menghapuskan pemimpin pejuang Hamas yang berada di dalam dan luar Gaza, termasuk di Malaysia.

Badan perisikan Israel dikatakan akan menyasarkan negara-negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia yang didakwa memberi sokongan, membiayai kewangan dan melatih pejuang Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI