PUTRAJAYA – Malaysia mendesak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk segera mengadakan sesi khas bagi menghentikan konflik di Palestin berikutan ketiadaan sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB setakat ini.
Desakan itu selaras dengan kenyataan Malaysia bersama Brunei dan Indonesia semalam yang menyarankan Perhimpunan Agung PBB agar mengadakan sesi tergempar bagi serius menangani situasi dengan resolusi perdamaian dan menamatkan krisis.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Majlis Keselamatan PBB masih
belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin walaupun ini merupakan sesi ketiga majlis keselamatan itu bersidang dalam minggu ini.
“Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang gagal untuk mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan.
“Atas sebab ketiadaan sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB, Perhimpunan Agung PBB didesak untuk segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan konflik di Palestin. PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta piagam badan dunia itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, Malaysia menekankan tiga perkara penting dalam perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB secara sidang video mengenai keadaan di Timur Tengah semalam yang antara lain mahu Majlis Keselamatan PBB bertegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh regim Israel.
Malaysia juga katanya menekankan agar Majlis Keselamatan PBB mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A / ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin.
“Selain itu, Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB,” katanya.
Hishammuddin memaklumkan, Malaysia juga telah menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk melaksanakan tanggungjawab utamanya bagi memastikan situasi keselamatan dan keamanan di rantau tersebut.
“Pihak Majlis Keselamatan PBB juga disaran untuk menggunakan mekanisma sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kehilangan lebih banyak nyawa di Palestin,” katanya.