SHAH ALAM – Mencabar diri untuk meneroka industri peruncitan yang dimonopoli khususnya golongan lelaki bukan mudah buat Pengasas Mak Long Mart, Datin Hasnah Abd. Samad, apatah lagi beliau tidak berpengalaman luas dalam bidang tersebut.
Namun, kerana minat yang mendalam dan mahu merealisasikan niatnya untuk memudahkan beliau bersedekah kepada golongan kurang berkemampuan membuatkan segala rintangan pada fasa awal pembukaan kedai serbaneka itu tetap diteruskan.
Malah, lebih mencabar kemampuannya, apabila premis yang terletak di Puncak Alam dekat sini yang mula dibuka pada awal bulan November tahun lalu berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Mencari outlet yang sesuai dalam kawasan komuniti Melayu yang ramai serta pengalaman yang agak cetek dalam industri peruncitan adalah antara kekangan yang dihadapi ketika mula-mula membuat perancangan membuka Mak Long Mart,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Puncak Alam dekat sini baru-baru ini.
Berkat usaha gigihnya selain mendapat sokongan baik daripada keluarganya, Hasnah, 47, yang berasal dari Kapar, Klang itu berjaya menjadikan nama Mak Long Mart kini semakin popular.
Malah, kedai serbaneka yang dibangunkan dengan modal lebih RM500,000 itu juga kini berada dalam landasan yang kukuh ekoran penjenamaan Mak Long itu sendiri yang sinonim dengan mana-mana keluarga Melayu membolehkan jenamanya mudah diingati pelanggan.
Lebih menarik, beliau juga bercadang untuk membuka cawangan kedua di kampung halamannya menjelang tahun depan bagi memenuhi misi untuk membantu lebih ramai golongan susah di sana.
Hasnah yang sebelum ini pernah bekerja di syarikat swasta selama 20 tahun itu melihat pembukaan Mak Long Mart menjadi platform terbaik buat dirinya untuk membantu usahawan kecil dan juga golongan kurang berkemampuan melalui penyediaan bank makanan (food bank) di dalam kedainya.
“Melalui food bank, sesiapa sahaja yang datang tanpa mengira kaum boleh mengambil makanan asas yang disediakan seperti beras, susu, gula, tepung dan banyak lagi.
“Selain itu, kami juga menghantar bahan makanan dari food bank ini ke masjid dan juga ke pusat tahfiz,” ujarnya.
Beliau suka bersedekah kerana inilah pengalaman kesempitan hidup yang dilaluinya bersama adik-beradik yang dipelihara ibunya di kampung selepas kematian ayahnya ketika berumur 12 tahun.
Tiada makanan enak yang dihidang di meja makan setiap hari hanya sekadar sayur-sayuran hasil kebun peninggalan arwah ayah dan cuma menikmati menu daging dan ayam ketika tibanya hari raya.
“Ini bukan bermakna saya mengambil terus barang dari kedai ini untuk bersedekah tanpa membuat rekod, malah saya membayarnya untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa depan,” ujarnya.
Bergelar ‘tauke’ kedai untuk Mak Long Mart bukan meminta Hasnah untuk hanya duduk memantau sistem kamera keselamatan litar dari kerusi empuknya di pejabat.
Beliau sentiasa turun padang selain berkunjung ke pasar borong dan juga pasar besar untuk memilih barangan segar dan mengenali dengan lebih dekat lagi mana-mana pembekal bahan mentah, sayur-sayuran dan juga makanan laut untuk memudahkan transaksi jual dan beli.
Kini, wanita itu semakin mahir mengoperasikan perniagaan sulungnya itu selain memberi peluang kepada ramai peniaga bumiputera menjadikan Mak Long Mart sebagai platform menawarkan produk keluaran masing-masing.
Setiap hari Sabtu pula, kedai tersebut menawarkan jualan makanan laut segar dari Utara dan yang terbaru jualan daging tempatan segar bersesuaian dengan musim perayaan.