PETALING JAYA – Ratu air mata, Wan Maimunah menitipkan kepada semua anak muda yang tidak berpeluang pulang ke kampung agar sentiasa bertanya khabar orang tua mereka.
Biarpun dibatasi kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Wan Maimunah atau nama lengkapnya, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz berkata, anak-anak jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.
“Rajin-rajinlah telefon orang tua di kampung. Kalau ada data lebih, buat panggilan video. Ibu bapa ini mereka tak harap sangat pun duit kita, sentuhan dan prihatian bersifat kasih sayang adalah paling berharga buat mereka.
“Jangan nanti, dah jadi batu nisan baru nak telefon. Sementara mereka (ibu bapa) masih hidup, inilah waktu untuk kita bersembang walaupun dengan hanya panggilan telefon,” kata pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular untujk lima tahun berturut-turut (1992 – 1996) itu teresak-esak kepada Kosmo! Online ketika dihubungi sebentar tadi.
Tambah pelakon yang cukup dikenali menerusi telefilem Terlerai Takbir Kasih itu, hati orang tua sangat sensitif terutama apabila usia semakin bertambah.
Katanya, anak-anak yang sedang mendepani kehidupan yang serba pantas dan sibuk mengejar harta duniawi, jangan rasa terbeban andai ibu bapa mereka berubah perangai menjadi sedikit kebudak-budakan.
“Kalau bukan sekarang, anak-anak jangan rasa terbeban andai suatu hari nanti, ibu bapa berperangai kebudak-budakan dan mudah terlupa sesuatu perkara.
“Ibu percaya orang tua di kampung akan selalu ingat anak-anak mereka yang berada di kejauhan. Tapi, tak semua anak-anak ingat akan orang tua mereka yang berada di kampung. Mungkin sukar ditelan realiti ini tapi berlaku.
“Justeru, ibu percaya Allah turunkan Covid-19 ini ada hikmahnya. Antaranya, supaya kasih sayang antara orang tua anak anak-anak lebih dihargai selepas ini. Insya-Allah, kita semua kuat dan tabah untuk mengharungi dugaan ini,” ujar Wan Maimunah yang kini menetap bersama anak angkatnya dikenali sebagai Ita di Ijok, Kuala Selangor.
Ditanya tentang sambutan lebaran yang kini memasuki hari kelima, pelakon berusia 63 tahun itu berkata, tiada apa sangat yang boleh disambut namun tetap bersyukur kerana masih diberikan nyawa untuk sekali lagi meraikan bulan kemenangan umat Islam.
Pada 1 Syawal lalu, ibu kepada dua cahaya mata itu meraikan Aidilfitri di Ijok, Batu Arang, Kuala Selangor bersama anak angkatnya.
“Raya tak buat apa sangat. Duduk rumah dan dengar radio. Kalau tak dengar radio, ibu akan habiskan masa membaca dan menjahit. Berdoalah agar Covid-19 segera pergi dari bumi Allah ini,” katanya lagi. – K! ONLINE