BRACKLEY – Bekas pemandu Formula Satu (F1), Romain Grosjean mengakui teruja dengan teknologi pasukan Mercedes dan hanya memerlukan tempoh lima minit untuk mengetahui bagaimana pasukan tersebut mampu mendominasi perlumbaan F1 sejak tahun 2014.
Bekas pemandu pasukan Haas itu dipanggil untuk melakukan lawatan ke pangkalan Mercedes di Brackley, England bagi melihat sendiri teknologi juara dunia tujuh kali F1 berkenaan menjelang majlis perpisahan di Paul Ricard, Jun nanti.
“Sampai sahaja ke kilang, saya terpaku dengan kemudahan dan cara mereka bekerja. Selepas lima minit berada di pusat pengeluar jentera F1 Mercedes di Brackley, saya sudah tahu mengapa mereka mampu memahat sejarah dalam sukan ini.
“Cuba tengok pasukan lain, tidak kisah sukan apa pun, yang boleh menyamai pasukan Mercedes. Ia hampir sukar. Berada di sana dan melihat sekeliling, kemudian anda akan faham.
“Biarpun tahun ini dalam ujian pramusim di Bahrain, ramai yang mengatakan Red Bull lebih pantas, namun selepas tiga perlumbaan, Mercedes terus mendominasi perlumbaan dengan tiga kemenangan daripada empat pusingan perlumbaan musim ini.
“Inilah kekuatan yang mereka ada. Mereka mungkin tidak mempunyai jentera paling laju, namun mereka akan sentiasa mencari jalan penyelesaian untuk setiap permasalahan,” ujar Grosjean.
Grosjean yang kembali beraksi dalam perlumbaan Indycar selepas enam bulan terlibat dalam kemalangan ngeri pada Grand Prix (GP) Bahrain tahun lalu, melakukan kejutan apabila menamatkan saingan di tempat kedua bagi perlumbaan GP Indianapolis tersebut. – AGENSI