PETALING JAYA – “Mana gambar dengan suami?”
Itu antara pertanyaan netizen yang menghujani ruangan komen foto hari raya Aidilfitri milik Noor Nabila Mohd Noor iaitu kakak kepada selebriti sensasi, Neelofa.
Beberapa pertanyaan tersebut timbul selepas bekas isteri Sharnaaz Ahmad itu memuat naik sekeping foto dia berseorangan dan tidak bergambar bersama suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin pada hari raya.
Rata-rata pengikut Instagramnya mula bertanyakan mengapa dia tidak memuat naik foto bersama Engku Emran yang sah menjadi suaminya pada 18 Mac lalu.
“Mana foto dengan suami? Nak tengok sedondon,” tulis seorang lagi pengguna Instagram.
Nabila bagaimanapun dilihat tidak membalas komen-komen tersebut.
Selain itu, ada juga netizen beranggapan ketiadaan Engku Emran dalam gambar adalah disebabkan dia yang merakam foto tersebut.
Sebelum itu, Nabila juga turut memuat naik foto anaknya, Jebat Jayden Ahmad memakai baju Melayu berwarna merah jambu berserta kapsyen cuapan selamat hari raya dalam Instagramnya.
“Selamat hari raya semua. Jayden mintak ampun dengan mak cik-mak cik semua,” tulisnya.
Hasil tinjauan, akaun Instagram Engku Emran juga sepi daripada perkongsian momen-momen sambutan hari raya pada tahun ini.
Dalam pada itu, warga maya turut menitipkan doa agar rumah tangga pasangan pengantin baharu itu kekal bahagia dan dijauhi daripada sebarang perkara buruk.
Terdahulu, Nabila dan Engku Emran selamat diijabkabulkan di sebuah masjid di ibu negara pada 18 Mac lalu.
Untuk rekod, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan bercerai secara hakam pada 9 Julai 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.
Mereka dikurniakan seorang anak lelaki Jebat yang kini berusia tiga tahun.
Sementara itu, Engku Emran pula pernah mendirikan rumah tangga bersama Erra pada 25 Oktober 2007 dan berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berumur 12 tahun.
Kemudian pada 8 September 2017 dia sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama Laudya kemudian bercerai sekitar bulan Jun 2020.
Perkahwinan kedua Emran bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata.- K! ONLINE