fbpx

Enam pasar dipasang kawat berduri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozali (kiri) dan Jagdeep (dua dari kiri) ketika melakukan tinjauan di Pasar Awam Bagan Ajam di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memasang pagar kawat berduri di enam buah pasar bagi mengelakkan pengunjung yang degil melalui ‘jalan tikus’ bagi memasuki pasar.

Kawat berduri itu akan dipasang di Pasar Awam Bagan Ajam dan Sri Uda di Butterworth, Pasar Awam Taman Selamat di Bukit Mertajam serta Pasar Awam Taman Berjaya dan Tambun Indah di Nibong Tebal di sini.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, setakat ini pihaknya telah selesai memasang kawat berduri di Pasar Awam Kepala Batas, manakala lima pasar lain tersebut akan dipasang dalam masa terdekat.

“Ia bagi mengawal pengunjung yang masuk melalui laluan salah berikutan pasar-pasar berkenaan mempunyai struktur dengan banyak laluan masuk.

“Biarpun telah dipasang dengan pita, masih ramai yang melaluinya tanpa melalui tempat yang betul dan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika turut serta dalam lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan & Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo di Pasar Awam Bagan Ajam, Butterworth di sini.

Terdahulu, beberapa bahagian di pasar berkenaan diarah tutup bermula 12 Mei lalu hingga hari ini berikutan beberapa peniaga disahkan positif Covid-19 dan dikenal pasti sebagai lokaliti terlibat dengan Kluster Jalan Terbilang.

Menurut Rozali, pihaknya menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah pembayaran tanpa wang di gerai-gerai yang masih beroperasi bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 di pasar berkenaan.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan orang ramai di negeri ini didapati mencecah 99 peratus daripada 1.86 juta pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negeri sejak Mac tahun lalu.

“Dengan kekuatan 5,000 petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MBSP kita masih mampu melakukan pemantauan berterusan itu.

“Kita tidak mahu ada lagi satu peratus yang menjadi sebab penularan dan mahu pematuhan 100 peratus untuk kembali catat kes harian sifar seperti 104 hari sebelum ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI