PUTRAJAYA – Tujuh lagi kes Variant of Concern (VOC) dikesan melalui survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 10 sampel Covid-19 dari 10 hingga 14 Mei lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu melibatkan empat kes tempatan dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351 yang dikesan di Kuala Lumpur membabitkan tiga kes saringan kontak rapat dan satu kes saringan bergejala.
Katanya, tiga lagi adalah kes warga asing dijangkiti varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) melibatkan dua kes dikesan melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dan satu kes melalui saringan bergejala serta kesemuanya mempunyai sejarah perjalanan ke India.
Justeru, beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan kes yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 66 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak lima kes.
“Tempoh kuarantin wajib selama 14 hari kepada pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC dalam komuniti telah dilanjutkan sejak 28 April lalu.
“Sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari negara India juga dilaksanakan sejak 7 Mei lalu berikutan penularan varian VOC yang semakin membimbangkan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.-K! ONLINE