JEMPOL – Sebuah kedai makanan di Taman Desa Puteri, Bahau, di sini, dikompaun sebanyak RM10,000 susulan dikesan membenarkan perlanggan makan di dalam kedai semasa Operasi Pematuhan prosedur operasi standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di sini, semalam.
Dalam operasi pada pukul 11.10 pagi berkenaan, selain pemilik kedai berusia 43 tahun dikenakan kompaun, dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun turut dikompaun susulan kesalahan makan di dalam kedai dalam tempoh perlaksanaan PKP 3.0.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, pemilik premis berkenaan turut dikompaun atas kesalahan gagal memastikan perlanggan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti membenarkan makan di kedai dan tiada penjarakkan fizikal.
“Secara keseluruhanya dalam operasi yang dilaksanakan semalam, dua premis dikompaun dengan nilai RM10,000 setiap premis dan enam individu, lima daripadanya di kedai makan dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang atas kesalahan perlanggaran SOP PKP 3.0.
“Sebuah lagi premis yang dikesan melakukan kesalahan ialah di Pasar Borong Bahau apabila pemilik premis berusia 29 tahun gagal menghadkan bilangan pelanggan yang berada dalam premis dengan penjarakan satu meter antara satu sama lain,” katanya sempena Operasi Khas Op. Covid-19 Pematuhan SOP PKP 3.0, di sini, semalam.
Chang Hook berkata, kompaun turut dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka dan gagal mendaftar masuk ke dalam premis.
Menurutnya, kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.- K! ONLINE