BESUT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar disiasat polis berhubung dakwaan menerima tetamu di rumahnya pada Hari Raya Aidilfitri pertama Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, Mohd. Iskandar yang juga Setiusaha UMNO Bahagian Setiu telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini pada pukul 8.15 malam, malam tadi.
“Setakat ini tiada kompaun dikeluarkan tetapi kita telah membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut.
“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Iskandar didakwa menganjurkan rumah terbuka pada 1 Syawal lalu setelah gambar rumahnya dipenuhi ramai orang untuk menikmati juadah raya tular di media sosial.
Kosmo! hari ini melaporkan ADUN Chukai, Hanafiah Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu dikompaun RM2,000 selepas melanggar SOP Hari Raya Aidilfitri dengan mengunjungi lima rumah penduduk untuk menyumbang juadah dan duit raya.
ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri turut dikompaun RM2,000 pada Jumaat lalu kerana menerima tetamu pada Hari Raya Aidilfitri pertama. – K! ONLINE