PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) akan meneruskan bantuan pembayaran semula bersasar dipertingkatkan (ETRA) kepada pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Sebelum ini, Bank Islam telah mengumumkan permohonan ETRA akan ditutup pada akhir Jun 2021.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, langkah tersebut bertujuan untuk membantu peminjam mengikut keadaan kewangan masing-masing, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Menurut beliau, selaras dengan bantuan pembayaran bersasar (TRA) sedia ada yang ditawarkan mengikut kelayakan pelanggan, Bank Islam kini menawarkan pelanggan di bawah bantuan moratorium iaitu tambahan tiga bulan penangguhan ansuran pembiayaan mereka.
Bagi pelanggan yang sebelum ini memilih untuk mengurangkan bayaran ansuran pembiayaan pula, mereka layak menerima lanjutan tempoh bayaran selama enam bulan dengan keperluan dokumentasi yang lebih ringkas.
“Bank turut memberi jaminan bahawa bantuan kewangan akan kekal tersedia, termasuk dan tidak terhad kepada hanya TRA, tetapi turut meliputi bantuan jangka panjang lain seperti pakej penjadualan dan penstrukturan semula.
“Bantuan turut tersedia kepada pelanggan daripada pelbagai kumpulan pendapatan, perniagaan mikro dan pelanggan terjejas ekoran pelaksanaan PKP terbaharu ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Mohd. Muazzam menyeru pelanggan yang sebelum ini telah menerima bantuan pembayaran bersasar tetapi masih memerlukan bantuan kewangan untuk menghubungi pihak bank.