TEHRAN, Iran – Seramai 592 individu yang kebanyakannya ahli politik yang tidak dikenali telah mendaftar sebagai calon presiden dalam pilihan raya presiden ke-13 di Iran, kata Ketua Kempen Pilihan Raya negara itu,Jamal Orf.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, daripada jumlah keseluruhan calon tersebut, 40 ialah wanita manakala 552 lagi ialah lelaki, demikian menurut agensi berita rasmi IRNA.
Ketika hari terakhir proses pendaftaran kelmarin, tiga tokoh kanan politik mengumumkan penyertaan mereka untuk pilihan raya presiden yang dijadualkan pada 18 Jun ini.
Ketua Kehakiman Iran, Ebrahim Raisi diangkat sebagai calon senarai utama, Naib Presiden Pertama, Eshaq Jahangiri sebagai calon reformasi dan dan bekas Speaker Parlimen, Ali Larijani sebagai tokoh politik konservatif sederhana yang secara rasmi mendaftar untuk kempen tersebut.
Kementerian Dalam Negeri Iran secara rasmi mula mendaftar calon untuk pemilihan presiden ke-13 pada Selasa lepas.
Mulai semalam, setiap calon akan diteliti oleh Majlis Perlembagaan Penjaga (GCC), badan perundangan tertinggi di negara itu dalam menilai kelayakan pemohon dan meluluskan nama calon yang layak menjelang 27 Mei ini.
Calon akan mempunyai 20 hari untuk berkempen sebelum hari pilihan raya sebenar berlangsung.
Menurut perlembagaan, calon presiden wajib seorang warganegara Iran, berhemah dan mampu memikul tugas kepimpinan dan mempercayai prinsip-prinsip republik Islam dan agama rasmi.
Baru-baru ini, GCC mengemas kini syarat untuk individu yang merancang untuk mendaftar sebagai calon.
“Semua calon mestilah berumur antara 40 hingga 70 tahun, memiliki sekurang-kurangnya taraf pendidikan peringkat sarjana atau yang setaraf dengannya, mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya empat tahun dalam jawatan pengurus dan tidak mempunyai rekod jenayah,” kata ahli hakim GCC, Hadi Tahan Nazif.
Presiden Iran sekarang, Hassan Rouhani yang memegang jawatan itu sejak 2013 kini perlu berundur berikutan tempoh dua penggal pemerintahannya sudah tamat. – Agensi