fbpx

40,000 dos vaksin untuk warga emas, OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 40,000 dos vaksin Covid-19 akan diasingkan bagi tujuan vaksinasi kumpulan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang menjadi kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Program Imunisasi Covid-19 (PICK) fasa kedua.

KPWKM dalam satu kenyataan berkata, permohonan untuk tujuan itu telah dibuat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar proses vaksinasi kepada kumpulan sasar terbabit dapat dipercepatkan.

Katanya, setakat ini, sebanyak enam institusi penjagaan warga emas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diberikan tarikh pemberian vaksin oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang bermula 5 Mei lalu.

Untuk rekod, terdapat 15 institusi warga emas di bawah JKM di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan penghuni sebanyak 2,081 setakat 30 April lalu.

“KPWKM melalui JKM telah mengemukakan senarai nama seramai 68,003 kumpulan sasar terdiri daripada 48,564 warga emas dan 19,439 OKU yang berdaftar untuk diberi suntikan vaksin dalam fasa kedua PICK.

“Daripada jumlah 48,564 warga emas, ia merangkumi ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan penghuni institusi-institusi seliaan KPWKM.

“Bagi jumlah 19,439 OKU pula, ia terdiri daripada pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK),” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, KPWKM berkata, kementerian melalui JKM juga sentiasa membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 ke atas 382 buah pusat jagaan warga emas dan 196 buah pusat jagaan OKU yang berdaftar di bawah JKM.

Katanya, sehingga 11 Mei lalu, sebanyak 404 pusat jagaan telah dibuat pemantauan.

“KPWKM juga menyeru kepada seluruh kumpulan sasar agar memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi Covid-19 mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini demi memastikan program vaksinasi di negara ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Untuk keterangan lanjut berkenaan, mereka boleh melayari http://www.VaksinCovid.gov.my dan menghubungi Talian Kasih 15999 atau talian WhatsApp 019 – 2615999 yang beroperasi 24 jam sehari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI