fbpx

28 mukim di Kota Setar, Kedah kena PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan 28 mukim di Kota Setar, Kedah berikutan peningkatan membimbangkan penularan Covid-19 di lokaliti tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 975 kes aktif Covid-19 di seluruh daerah Kota Setar dengan enam mukim direkodkan sebagai Zon Merah iaitu Mukim Kota Setar (78 kes), Mukim Mergong (223 kes), Mukim Pengkalan Kundor (143 kes), Mukim Derga (138 kes), Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes) sehingga semalam.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 telah tersebar luas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja iaitu bermula 8 Mei hingga semalam yang merekodkan 799 kes secara keseluruhan.

“Ini menjadikan sebanyak hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata yang turut melibatkan beberapa kluster sedia ada dan kluster terbaharu di daerah Kota Setar yang dinamakan Kluster Dah Putih.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan tersebut berkuat kuasa 19 Mei sehingga 1 Jun ini,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau menambah, dua lagi kawasan di Kelantan turut dikenakan PKPD dalam tempoh yang sama iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong di Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Bangau di Kota Bharu.

Ismail berkata, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 227 ujian saringan di kedua-dua lokaliti dengan 74 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok Dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Kata beliau, PKPD Taman Tanah Putih Baru di Kuantan, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan bermula Rabu ini hingga 25 Mei ini dengan daripada 4,621 ujian saringan, 326 daripadanya disahkan positif Covid-19 di samping terdapat sampel yang sedang menunggu keputusan.

“Kerajaan turut melanjutkan PKPD Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan di Sarikei, Sarawak yang sepatutnya tamat pada Rabu ini sehingga 26 Mei 2021.

“KKM telah melakukan 67 ujian saringan dan 16 daripadanya disahkan positif Covid-19 serta masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut selain ada lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata PKPD Kampung Meripoh dan Kota Bahagia, Muadzam Shah di Rompin, Pahang yang sepatutnya berakhir pada 23 Mei ini ditamatkan lebih awal esok memandangkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI