Oleh RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai dan Kuala Lumpur mengambil keputusan menangguhkan kemasukan pelajar ke kolej masing-masing berikutan risiko penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.
UTM dalam kenyataan berkata, keputusan ini adalah selaras dengan pengumuman kerajaan berikutan situasi semasa Covid-19.
Jelasnya, pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka yang dijadualkan akan dilaksanakan selepas cuti raya Aidilfitri adalah dibatalkan sehingga tamat sesi perkuliahan semester II, sesi 2020/2021.
“Sehubungan dengan itu semua surat kelulusan masuk kampus yang diterima oleh pelajar melalui sistem UTMSMART atau surat kebenaran adalah terbatal.
“Permohonan baharu kemasukan ke kampus melalui Sistem UTMSMART juga akan ditutup buat sementara waktu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin berkata, pelajar adalah dibenarkan pulang ke rumah bermula 7 hingga 12 Mei dan perlu pulang semula ke kampung bermula 15 hingga 20 Mei depan.
Ujarnya, kebenaran untuk pulang ini adalah tertakluk kepada pelajar yang akan pulang ke kawasan PKPP, PKPB dan PKP sahaja kecuali Sarawak.
Sehingga 6 Mei, seramai 2,073 pelajar telah membuat permohonan untuk balik ke kampung iaitu 1,983 dari kampus Johor Bahru dan 90 orang dari kampus Kuala Lumpur. – K! ONLINE