fbpx

Sudah itu takdir yang tertulis – Azlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLAN & THE TYPEWRITER

SAYU dan pilu yang membengkak dalam dada. Itu perasaan yang terpaksa ditanggung penyanyi Azlan & The Typewriter sepanjang sambutan lebaran tahun ini.

Masakan tidak, Syawal ini menjadi tahun pertama Azlan meraikan hari raya tanpa bapanya, Sallehudin Che Ani yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Ramadan kesembilan yang lalu.
Lebih memilukan, perjalanan terakhir arwah bapanya hanya disaksikan bersama adik-beradik lain menerusi sidang video. Tiada tatapan terakhir, ciuman dan pelukan apatah lagi. Semuanya harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pesakit Covid-19 yang ditetapkan. Segalanya diurus dan disempurnakan pihak hospital.

“Sedih memang sedih, tetapi sebagai orang Islam saya percayakan ketentuan Allah. Sudah itu takdir yang tertulis untuk arwah bapa, sebagai anak saya perlu terima dan reda,” kata Azlan.

Meskipun arwah merupakan bapa kandungnya, Azlan sebenarnya lebih banyak membesar bersama bersama bapa tiri.

“Keluarga saya agak rumit sedikit kerana berpecah-belah. Namun, sebagai anak saya terima dengan jalan yang ditulis Allah untuk saya. Biarpun arwah tidak menjaga saya sejak kecil, tetapi jika tiada bapa, saya pun tidak wujud.

“Ibu bapa saya memang telah berpisah, tetapi kami selalu berhubung sebagai anak dan bapa. Kami tidaklah terlalu rapat, tetapi selalu berjumpa.

“Tipulah sebagai anak kita tidak terasa dengan pemergian orang tua. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah mengirim doa buatnya,” tutur Azlan lagi.

Kesederhanaan sambutan raya Azlan tambah suram apatah lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kembali dilaksanakan secara lebih ketat di seluruh Malaysia.

Mengakui rindu untuk pulang ke kampung halaman dan ingin menikmati lebaran tahun-tahun terdahulu, namun menyaksikan sendiri pemergian bapa sebagai korban Covid-19 dan jumlah kes yang mencanak naik membuatkan Azlan akur dengan segala arahan kerajaan.

“Covid-19 tidak mengenal mangsa, adik menjaga arwah dan tinggal serumah disahkan negatif. Jadi, kita tidak boleh jangka, siapa yang akan dijangkiti.

“Jika tiada PKP, biasanya saya balik ke beberapa buah kampung, antaranya Hulu Langat, Selangor, Melaka iaitu kampung bapa tiri dan Johor kerana ibu kandung saya berada di sana,” ujar Azlan.

Disebabkan terlalu banyak kampung yang perlu dilawati setiap kalinya lebaran, bapa kepada seorang anak perempuan dan dua orang anak lelaki berusia antara 10, 7 dan 5 tahun itu harus menjawab banyak soalan daripada anak- anaknya.

“Keluarga saya memang agak rumit, sebab itu saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada anak-anak. Mereka juga berasa pelik mengapa mereka memiliki ramai nenek dan datuk serta banyak kampung?

“Selepas saya terangkan menerusi lukisan, mereka memahami dan turut menikmati keluarga besar saya,” terang Azlan.

AZLAN merasai sendiri beban perasaan kehilangan anggota keluarga akibat Covid-19. Perasaan sayu sukar tergambar apabila hanya mampu menatap segala urusan pengurusan jenazah melalui sidang video.

Privasi

Terlanjur bicara tentang keluarga, Azlan yang mendirikan rumah tangga dengan Normala Hassan pada 2011 dilihat antara selebriti yang sangat jarang berkongsi kisah keluarga.

Bukan tidak mahu, tetapi Azlan mempunyai alasan tersendiri untuk tidak terlalu mendedahkan kisah keluarga dalam media sosial.

“Sesekali ada juga saya berkongsi tentang keluarga dalam Instagram. Mengikut pemahaman, saya yang terlibat dalam bidang seni bukannya keluarga, jadi tidak perlu terlalu tonjolkan mereka.

“Bidang seni ada negatif dan positif. Jika suatu hari nanti, saya melalui jalan negatif, saya tidak mahu keluarga dan anak-anak yang menanggung malu. Jadi, lebih selamat tidak terlalu dedahkan mereka,” kongsinya lagi.

Biarpun begitu, Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle Sallehudin, 39, tidak menolak andai pada masa depan salah seorang anaknya akan mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

“Dalam ramai anak, pasti ada seorang yang akan mengikut acuan saya. Sebagai bapa, saya bersikap terbuka dengan pilihan kehidupan anak-anak, namun ketika mereka masih kecil, saya perlu lindungi mereka sebaik mungkin,” tuturnya.

Malah menurut Azlan, hanya anak sulung perempuannya mengetahui kerjayanya sebagai penyanyi. Pilihan itu dibuat supaya anak-anaknya membesar seperti kanak-kanak lain.

“Guru sekolah anak perempuan sahaja yang tahu tentang saya, guru-guru anak lelaki tidak tahu kerana segala urusan diuruskan ibu mereka. Saya selesa begitu,” luah Azlan.

Berkongsi tentang cabaran menjadi seorang bapa kepada tiga orang anak, Azlan menyuarakan kerisauannya, terutama berhubungan gajet dan jenayah semasa.

Atas sebab itu, Azlan memutuskan menghantar anak perempuannya ke sekolah perempuan selain menitikberatkan pendidikan agama.

“Saya lihat pendidikan agama sangat penting. Saya sedar diri bukanlah cukup baik, tetapi sebagai bapa saya mahu yang terbaik untuk anak-anak. Saya memang tegas di rumah kerana seram dengan pelbagai isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.

“Contohnya gajet, saya akan beri juga pada mereka, tetapi ada limit dan adakalanya saya akan rampas seperti pengawas.

“Saya juga bersyukur kerana isteri tidak bekerja, jadi boleh memberi sepenuh perhatian kepada anak-anak. Selagi mampu biarlah saya seorang yang menanggung keluarga kerana sudah itu tugas ketua keluarga,” kata Azlan.

LEBARAN tahun ini cukup pilu buat penyanyi Azlan & The Typewriter apabila buat pertama kalinya beraya tanpa bapanya, Sallehudin Che Ani yang meninggal dunia pada Ramadan kesembilan lalu akibat virus Covid-19. – Foto SHIDDIEQIIN ZON

Karier

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia turut menjejaskan karier seni band Azlan & Typewriter. Justeru sepanjang Ramadan lalu, Azan mencuba nasib dalam perniagaan baju Melayu kain jersi yang dijual secara dalam talian.

Meskipun masih baru dalam bidang perniagaan pakaian, Azlan bersyukur kerana produknya mendapat sambutan hangat.

“Rasanya sudah ramai yang mempunyai idea untuk keluarkan baju seperti ini. Cuma tidak ramai yang berani untuk melabur. Cuaca di Malaysia semakin hari semakin panas. Jadi, saya keluarkan baju Melayu menggunakan material microfiber dan antipeluh.

“Sambutan sangat menggalakkan, tetapi tidaklah sampai terjual beribu-ribu pasang. Harga juga mampu milik hanya RM99 sepasang dan dijual menerusi Instagram saya,” ujarnya.

Selain itu, Azlan bersama ahli bandnya turut mengambil alih Wisma Yayasan Terengganu yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk diusahakan bagi menyokong usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Kami bekerjasama untuk menyokong peniaga IKS. Bahagian bawah bangunan itu terdapat ruang yang boleh dijadikan tempat makan-makan.

“Kami cuba sebaik mungkin dalam keadaan tidak menentu sekarang. Bukan sahaja meningkatkan ekonomi diri, tetapi juga membantu orang di sekeliling.

“Jika bercerita tentang wang, semua orang terkesan bukan golongan seni sahaja. Hari ini Allah boleh beri dan esok Allah boleh ambil. Jadi, bersyukur dan jangan berhenti berusaha,” luah Azlan.

Biarpun sibuk dengan perniagaan, kerjaya hakiki dalam bidang seni tidak dilupakan.

COVID-19 banyak mengubah cara hidup semua orang begitu juga dengan Azlan. Sementara tidak banyak aktiviti luar, Azlan menghabiskan waktu dengan menulis lagu.

Kali terakhir Azlan muncul dengan single adalah menerusi lagu Jangan Khianati Aku pada Mac tahun lalu.

Regu duet YonnyBoii menerusi lagu Kelabu itu merancang untuk muncul dengan buah tangan baharu pada tahun hadapan.

“Sementelah tidak boleh bergerak ke mana-mana dalam keadaan sekarang ini, saya akan buat lagu baharu.

“Mengikut perancangan, memang saya mahu keluarkan sebuah lagu baharu pada tahun depan yang mempunyai elemen rock.

“Sebagai penyanyi saya sedar lagu-lagu ‘menjerit’ sudah tidak sesuai, jadi saya mungkin akan kurangkan lagu sebegitu pada masa depan.

“Sekali-sekala saya akan muncul dengan lagu menjerit untuk kepuasan diri, itu sudah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI