PETALING JAYA – Luka di tangan nampak berdarah namun luka dihati siapa yang tahu.
Barangkali, frasa berkenaan sesuai menggambarkan permasalahan yang timbul antara pelakon Izreen Azminda dengan seorang wanita bernama Intan Liana Saleh yang statusnya sebagai isteri dirampas pelakon tersebut tiga tahun lalu.
Mereka dipertemukan empat mata dalam satu rancangan hiburan edisi khas raya bagi menyambut semangat ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’ bersempena dengan bulan kemenangan Islam, Syawal yang kini memasuki hari keempat.
Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang dan perihal itu yang sedang hangat diperdebatkan di media sosial sekarang.
Rata-rata netizen bersimpati dengan nasib yang menimpa Intan walaupun Izreen atau nama lengkapnya, Izreen Azminda Aznam, 35, sudah membuat permohonan maaf atas apa yang berlaku.
“Kasihan Intan. Walaupun sudah hampir empat tahun berlalu tetapi kesakitan yang dialami masih di situ. Reaksi dirinya pun nampak yang dia masih sedih,” ciap seorang pengguna Twitter.
Dalam rancangan hiburan tersebut, Izreen dan Intan dipertemukan buat kali pertama selepas apa yang terjadi namun tidak ramai yang ‘sebulu’ dengan apa yang dipertontonkan di skrin televisyen.
“Dah ambil laki orang tu, mestilah malu kalau aku jadi Izreen ni. Apapun hebat Intan!,” tulis seorang lagi pengguna Twitter.
Intan menerusi Instagramnya meninggalkan satu hantaran status yang dipercayai ditujukan tentang apa yang sedang diperkatakan ramai itu.
“Niat itu seperti surat. Salah tulis alamat, akan sampai salah tempat. Setiap orang akan kembali kepada apa yang diniatkan. Jadi, Betulkan niat.
“Selagi tiada rasa bahagia, selagi ada kesulitan. Mana mungkin boleh melupakan. Lihat pada situasinya. Jika ikhlas hanya Allah, aku dan dia,” tulis Intan.
Terdahulu, Intan berkahwin dengan Ude atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, tiga tahun, serta Ariq Muqri, satu tahun.
Langit bertukar mendung buat Intan apabila Izreen mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.- K! ONLINE