TEL AVIV – Akhbar-akhbar Israel melaporkan pengumuman pelik dan bercanggah oleh Tentera Pertahanan Israel (IDF) tentang kemaraan tentera daratnya ke Genting Gaza sengaja dibuat untuk mengeliru kan media Barat supaya melaporkan berita palsu, lapor laman berita RT News semalam.
Sejurus selepas tengah malam kelmarin, IDF menerusi akaun Twitter rasminya mengumumkan bahawa tentera udara dan darat sedang menyerang Genting Gaza.
Pengumuman tersebut mendorong media utama seperti New York Times, Wall Street Journal, AFP dan NPR melaporkan Rejim Zionis telah menyerang wilayah Palestin itu selepas pergerakan Hamas dan Jihad Islam membedil roket sejak beberapa minggu lalu.
Akhbar Washington Post menerusi alam Twitternya melaporkan: “Tentera Israel telah menceroboh Genting Gaza dan konflik antara Israel dan Palestin menjadi semakin buruk”.
Bagaimanapun, dua jam kemudian, IDF menjelaskan bahawa tentera daratnya tidak memasuki Gaza.”Secara rasminya, kekeliruan itu disebabkan oleh ‘kesilapan komunikasi dalaman’,” kata jurucakap IDF, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus kepada wartawan kelmarin.
Tambahnya, perkara sedemikian kadang kala berlaku di tengah-tengah operasi ketenteraan yang rumit sehinggakan gambaran apa yang sedang berlaku menjadi tidak jelas.
Sebaik sahaja menyedari kesilapan pada maklumat yang disalurkan, Conricus kemudian memaklumkan penjelasan sebenar.
Bagaimanapun, seorang lagi jurucakap tentera Israel, Or Heller berkata, maklumat palsu tersebut diadakan untuk menipu pejuang Palestin.
“Ia merupakan manipulasi yang bijak dan berjaya.
“Apa yang berlaku hari ini (semalam) merupakan satu operasi canggih melibatkan aspek media padanya,” katanya.
Menurut Heller, laporan tersebut menyebabkan pejuang Hamas bersembunyi di dalam rangkaian terowong bawah tanah yang digelar Israel sebagai ‘Metro’ di mana mereka merancang untuk menyerang hendap penceroboh.
Isarel kemudian melancarkan serangan udara dan bedilan artileri untuk memusnahkan terowong-terowong tersebut bersama pejuang Palestin di dalamnya.
Dalam satu panggilan video dengan beberapa agensi berita kelmarin, Conricus menjelaskan, pihaknya tidak merancang untuk mengelirukan sesiapa atau menyebabkan mana-mana pihak melaporkan perkara yang tidak benar.
“Apa yang cuba dibuat IDF adalah mewujudkan situasi di mana pejuang Hamas menggunakan terowong itu supaya kami boleh menyerang mereka,” katanya. – Agensi