MADRID – Hasrat Real Madrid untuk mempertahankan gelaran La Liga semakin sukar apabila kehilangan ‘arkitek’ bahagian tengah, Toni Kroos untuk perlawanan penting menentang Athletic Club di Stadium San Mames awal pagi esok.
Kroos, 31, terpaksa menjalani kuarantin kendiri selepas menjadi kontak rapat kepada seseorang yang positif Covid-19 sebagai langkah pencegahan agar virus itu tidak menular dalam kem Real.
“Real Madrid CF melaporkan bahawa pemain kami, Toni Kroos perlu menjalani proses isolasi walaupun semua ujian yang telah dijalankan ke atasnya adalah negatif,” menurut kenyataan rasmi daripada Real.
Perkhabaran itu tentunya memeningkan kepala ketua jurulatih Real, Zinedine Zidane yang kini sudahpun kehilangan ramai pemain disebabkan masalah kecederaan dalam misi membawa pulang tiga mata penting dari Bilbao.
Antara pemain Los Blancos yang terpaksa diketepikan ialah kapten, Sergio Ramos kerana kecederaan hamstring, Dani Carvajal (hamstring), Ferland Mendy (paha), Lucas Vazquez (lutut) dan Marcelo disebabkan masalah kecergasan.
Kemenangan akan mencerahkan peluang Real memandangkan mereka kini menduduki tangga kedua dan hanya dibezakan dua mata dengan pendahulu liga, Atletico Madrid yang menanti kunjungan Osasuna awal pagi esok.
Laluan Atletico dilihat lebih cerah memandangkan mereka bertemu lawan-lawan mudah seperti Osasuna dan pasukan tempat ketiga tercorot, Real Valladolid dalam baki dua aksi selepas ini.
Jika Real tewas, manakala Atletico menang, skuad bimbingan Diego Simeone itu akan ditabalkan sebagai juara baharu La Liga sekali gus menamatkan penantian sejak melakukannya pada 2014. – AGENSI