MEMILIKI fizikal seperti seorang remaja walaupun sudah berusia 41 tahun, pelakon yang kini sangat popular dengan jolokan Barkoba penangan fenomena 18 Puasa Di Kampong Pisang, Bell Ngasri mengakui dirinya masih berpotensi ‘mengaut’ duit raya.
Bell atau nama lengkapnya, Nasrizal Ngasri, berkata, biarpun Aidifitri berlangsung dalam serba kekangan akibat krisis Covid-19 yang semakin genting, baginya, raya tetap raya!
“Sebab saiz badan remaja dan sentiasa ‘awet muda’, saya masih dapat duit raya tapi sebab tahun ini susah nak kutip (duit raya), peluang nak dapat banyak, susahlah sikit (tertawa).
“Tetapi, memang betul. Saya masih dapat duit raya lagi-lagi daripada orang yang tak kenal siapa saya. Beberapa tahun lalu, boleh tahan banyak duit raya saya dapat pada hal usia dah tua bangka,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Kalau bukan sebab Covid-19, kelazimannya, Bell sekeluarga pulang beraya di Johor dan Kedah (keluarga belah isteri).
“Kami biasa akan balik beraya di Kota Tinggi dan Ulu Tiram, Johor. Tetapi apa yang boleh buat, kita semua diuji dengan wabak Covid-19.
“Memang tak rasa raya sebab tak dapat jumpa sedara-mara. Tapi, ada hikmahnya juga. Disebabkan Covid-19, tak perlulah kita peruntukkan banyak sangat duit raya (ketawa),” ujar Bell.
‘Hantu’ kuah kacang
Diajak berbicara tentang juadah dan kuih raya kegemarannya, Bell berkata, juadah wajib yang perlu ada atas meja makan ialah lodeh dan kuah kacang.
“Wajib kena ada kuah kacang bagi seorang Bell Ngasri. Saya ‘hantu’ kuah kacang! Tak kisah mak atau isteri yang masak. Dua-dua versi, sedap!
“Kalau kuih raya, saya jenis tak cerewet tetapi kegemaran saya ialah kuih makmur. Tahun ini beraya di Kuala Lumpur sahaja sebab nak rentas daerah pun tak dibenarkan. Rumah Anne dan Darling yang satu daerah pun tak dapat ziarah atas arahan baharu dikeluarkan kerajaan. Jadi, saya ringkaskan, raya tahun ini memang tak seronok.
“Kakak sulung saya pula di Pahang. Tahun lepas pun dah tak seronok sebab kalau tolak campur dah dua tahun tak balik kampung,” katanya.
Bertabahlah
Ditanya tentang respons anak-anaknya tentang ‘raya Covid-19’, jawab Bell: “Saya rasa mereka pun dah reda. Budak-budak kecil.
“Raya ini akan paling seronok andai kita pegang status atau tiket kanak-kanak. Dapat beraya di rumah sesiapa pun dan paling ‘best’, semasa kutip duit raya. Ketuk sahaja pintu rumah sesiapa, mesti bawa balik ‘ongkos’.
“Sekarang dah tak macam dahulu. Nyawa bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main. Saya percaya semua orang rindukan suasana beraya dahulu yang bebas ke mana-mana tanpa sekatan. Tetapi ini semua dugaan. Sama-samalah kita hadapinya dengan tabah.”