PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Husaini Omar sewaktu merasmikan sebuah program di Universiti Putra Malaysia (UPM), Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis ekoran daripada satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal berita semalam berkenaan program tersebut.
“Program tersebut telah diadakan di Kolej Kediaman ke-13 UPM yang melibatkan kehadiran mahasiswa serta pihak pengurusan yang dianjurkan sempena penyampaian sumbangan kepada mahasiswa dan juga jamuan Hari Raya.
“Berdasarkan gambar yang dimuat naik, kelihatan kehadiran tetamu dan juga mahasiswa ke program berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rosdi, siasatan berhubung kejadian dijalankan di bawah Peraturan 17, P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 ke atas pengunjung dan RM10,000 ke atas penganjur.
“Kertas siasatan berhubung kejadian ini juga akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya,” jelas beliau.-K!ONLINE