“KU sangkakan panas sampai ke petang. Rupa-rupanya hujan di tengah hari.”
Begitu bait pepatah yang sesuai menggambarkan situasi kebanyakan rakyat Malaysia sekarang yang masih ‘berperang’ dengan penularan virus Covid-19.
Ramai dalam kalangan kita yang terkilan dan kecewa kerana sekali lagi, terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia sehingga menutup pintu pergerakan beraya walaupun ke rumah jiran tetangga. Beraya pulang ke kampung, rentas daerah atau negeri, itu jauh sekali. Lupakan sahaja.
Nasib serupa turut dirasai pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya. Sejak Scha atau nama lengkapnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 38, melahirkan cahaya mata kedua, Lyla Amina, mereka belum pernah berkesempatan untuk mengadakan sesi ‘ice breaking’ atau memperkenalkan puteri kecil itu kepada saudara-mara.
Teladan
“Semasa mengandungkan Lyla, kami memang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Tiada siapa dibenarkan jumpa Scha untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
“Jadi, kami ingatkan waktu raya paling bertepatan untuk berkumpul dan semua saudara-mara boleh berkenalan dengan Lyla tetapi lain pula yang jadi. Kedaan semakin memburuk dan sebagai golongan selebriti, kami perlu serta wajib memberikan teladan terbaik dalam masyarakat.
“Hampa memang hampa. Ingat raya nak bawa pergi rumah nenek dan sebagainya tetapi tidak mengapalah. Kalau bukan tahun ini, harap boleh berkumpul mungkin raya haji atau Aidilfitri tahun hadapan,” lentur Awal.
Tambah Scha pula, dia memang terkilan kerana tidak dapat berkumpul seperti tahun-tahun sebelum terutama saat meraikan kehadiran ahli baharu dalam keluarga.
“Memang tak dapat nak buat apa. Sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin, apa yang kita buat adalah patuh dengan saranan yang telah diwartakan kerajaan.
Tolong sensitif, jangan langgar
“Saya pun dah lama tak jumpa abang saya di Johor dan adik di Australia. Kalau inginkan keadaan kembali seperti asal, saya percaya kita semua kena bersatu untuk menangani masalah ini,” ujar Scha ketika ditemui Pose sekitar pelancaran produk terbaharunya, Schambal hujung Ramadan lalu.
Diajak berbicara tentang kontroversi tercetus ekoran ramai selebriti popular ‘kantoi’ langgar SOP semasa Ramadan lalu, baik Awal dan Scha, mereka mempunyai pendapat masing-masing.
Getus Awal, semua pihak sangat terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Jadi, adalah perlu untuk rakyat terutama sekali golongan selebriti bersikap sensitif dan patuh dengan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
Scha pula mengingatkan sahabat rakan-rakan selebriti mengambil pendekatan berhati-hati semasa berkongsi sebarang muat naik dalam media sosial.
Katanya, setiap orang mempunyai penerimaan yang berbeza terhadap apa yang dikongsikan menerusi media sosial.
Berbeza penerimaan
“Sejujurnya, saya selalu ingatkan Awal. Kadang-kadang, semuanya bukan tentang yang kita buat, sebaliknya apa yang orang lain lihat. Lebih-lebih lagi, kalau kita dikenali.
“Orang mungkin tak faham, kita buat itu ini sebab kerja dan sudah dapat kelulusan tetapi begitulah, lain orang lain penerimaa.
“Jadi, untuk kurangkan kontroversi atau tak mencetuskan perihal kurang molek, lebih baik kita tak buat atau tak kongsi apa-apa dalam Instagram. Kalau saya buat (langgar SOP), saya kena menjawab dengan netizen,” katanya.
Menyuarakan pandangan, peminat nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari pula berpendapat, golongan selebriti bukan tidak bijak sampai tidak berhati perut main langgar SOP dan mahu mencetuskan kemarahan awam.
“Nak cakap lebih pun, mereka itu kawan-kawan kami juga.
“Ada antara mereka sudah dapat kelulusan atau keizinan pihak berkuasa untuk rentas negeri. Pada waktu yang sangat mencabar sekarang, kita kena sensitif.
“Adakala, mereka (selebriti) berada pada tempat dan waktu yang salah. Kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang. Netizen akan sentiasa mempersoalkan tindak-tanduk artis, contohnya, kenapa artis boleh rentas tetapi kita tak boleh,” ujar Awal.
Bersetuju dengan kenyataan suaminya, Scha menambah: “Semua orang sensitif, sedang sedih dah marah sekarang. Saya sendiri walaupun rumah ibu yang tidak sampai 10 minit, tetap takut nak keluar rumah.”
Terdahulu, beberapa selebriti terkenal tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa dan Datuk Awie mencetuskan amarah netizen apabila terjebak isu melanggar SOP.