PARIS – Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar bengang apabila terlepas aksi final Piala Perancis menentang AS Monaco di Stade de France pada Khamis ini.
Penyerang sensasi berusia 29 tahun itu tidak berpuas hati apabila Persekutuan Bola Sepak Perancis menjatuhkan hukuman penggantungan satu perlawanan kepada dirinya sekali gus terlepas aksi final tersebut.
Neymar merasakan ia satu keputusan yang tidak adil selepas dia dilayangkan kad kuning walaupun masuk bermain selama lima minit sahaja sewaktu separuh akhir menentang Montpellier pada Khamis lalu.
“Saya ingin memahami alasan orang yang bertanggungjawab menguruskan urusan hukuman ini di Perancis. Saya mahu menepuk tangan kerana ia sangat huru-hara.
“Saya baru bermain lima minit dan melakukan kesalahan tetapi pengadil tanpa berfikir panjang terus melayangkan kad kuning. Terima kasih kerana menggantung saya untuk aksi final,” kata Neymar.
Sebagai rekod, PSG mara ke final selepas menewaskan Montpellier 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Bagaimanapun, hukuman penggantungan Neymar itu tidak berkuat kuasa dalam saingan Ligue 1 yang menyaksikan dia boleh diturunkan menentang Stade Reims di Parc des Princes awal pagi esok. – AGENSI