MILAN – AC Milan berpeluang mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan jika menewaskan Cagliari pada aksi Serie A di Stadium San Siro awal pagi esok.
The Rossonneri tidak akan melepaskan peluang keemasan itu kerana tidak pernah kalah kepada Cagliari dalam tujuh pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sejak Ogos 2017.
Milan juga ketika ini berada pada tahap kemuncak selepas berpesta gol meratah Torino 7-0 yang menyaksikan Ante Rebic mencetak hatrik dalam tempoh 12 minit pada Khamis lalu.
Ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli menggesa anak-anak buahnya agar tidak terbuai dengan situasi semasa bagi memastikan Milan kembali ke kancah Liga Juara-Juara sejak musim 2013/2014.
“Kami berkeyakinan tinggi untuk kembali menempah sejarah baharu buat Milan. Namun, kami masih belum membuktikan apa-apa selagi ia tidak menjadi milik kami.
“Saya tidak bimbang dengan cabaran pasukan lawan, sebaliknya semua pemain perlu mengekalkan fokus terbaik mereka. Kita akan meraikannya sebaik sahaja layak ke Liga Juara-Juara,” katanya.
Walaupun sekali lagi beraksi tanpa kehadiran Zlatan Ibrahimovic kerana masalah kecederaan, namun bintang pinjaman daripada Real Madrid, Brahim Diaz dijangka mampu menggalas tanggungjawab tersebut.
“Saya gembira dengan prestasi bersama Milan musim ini. Jangan sesekali mengalah dan terus berjuang bagi memastikan kemenangan dalam perlawanan seterusnya,” jelas Diaz. – AGENSI