KAHERAH – Mesir membuka lintasan sempadan Rafah dengan Gaza semalam untuk membenarkan 10 buah ambulans membawa rakyat Palestin yang cedera dalam serangan udara Israel mendapatkan hospital-hospital di Mesir, kata beberapa pegawai.
“Mesir memberi pengecualian membuka lintasan Rafah bagi membenarkan 10 ambulans memasuki Genting Gaza untuk mengangkut warga Palestin yang cedera ke Mesir,” kata seorang pegawai perubatan.
Seorang pegawai di sempadan Gaza itu berkata, pembukaan tersebut dibuat secara ‘khusus’ memandangkan lintasan Rafah ditutup semasa cuti umum termasuk Aidilfitri yang berlangsung dari Rabu lepas hingga hari ini di Mesir.
Menurut Pihak Berkuasa Kesihatan Mesir, cuti umum itu digantung untuk sebilangan doktor dan jururawat sebagai persediaan menerima kemasukan penduduk Palestin yang cedera dari Genting Gaza.
Lintasan Rafah biasanya dibuka pada hari bekerja.
Sementara itu, pegawai-pegawai kesihatan di Gaza berkata, serangan udara Israel telah membunuh 145 orang termasuk 41 kanak-kanak sejak Isnin lalu manakala kira-kira 1,100 yang lain cedera. – AFP