BESUT – Seorang mekanik maut selepas motosikal Yamaha 135LC dinaikinya hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah kereta Mercedes Benz di Kampung Gong Kepas di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.25 malam itu, Muhammad Izzat Mohd. Nasir, 24, dari Kampung Pak Wong, Jertih di sini meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sewaktu kejadian, kereta Mercedes Benz dinaiki tiga beranak dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Raja dari sebuah pasar raya di Kampung Gong Kepas di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, belakang keretanya dikatakan tiba-tiba dilanggar oleh sebuah motosikal dinaiki mangsa.
“Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis dua kenderaan lain iaitu kereta Perodua Bezza dan Proton Satria,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, tujuh individu lain yang terlibat dalam kemalangan itu iaitu tiga menaiki kereta Mercedes Benz, Perodus Bezza (seorang) dan Proton Satria (tiga) yang masing-masing berusia dalam lingkungan 13 hingga 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, mayat Muhammad Izzat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE