KUALA LUMPUR – Seramai lima penunggang motosikal ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan selepas didapati menunggang dalam keadaan keadaan merbahaya di Lebuh Raya Ulu Kelang (DUKE) di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira pukul 3 pagi itu berusia dalam lingkungan 17 hingga 29 tahun.
“Antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh penunggang yang ditahan ini adalah menunggang secara berbahaya sambil melakukan pelbagai aksi seperti ‘zig zag’, ‘aksi superman’, ‘roket’, dan bersaing sesama sendiri.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati dua daripada penunggang yang ditahan tidak memiliki lesen memandu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, pemeriksaan yang dilakukan mendapati mereka yang ditahan bekerja sebagai juruteknik hotel, penghantar surat, mekanik, penghantar barang dan seorang daripada mereka bekerja sendiri.
“Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tegas beliau. -K! ONLINE