PETALING JAYA: Terkesan dengan serangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, penyanyi yang juga komposer terkenal Faizal Tahir mengambil pendekatan tidak menghiasi laman sosialnya dengan gambar sambutan hari raya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Assalamualaikum itu sebaliknya dia lebih memikirkan nasib saudara seagama di Gaza yang berjuang mempertahankan tanah air mereka biarpun bermandi darah.
“Ada orang bertanyakan mengenai gambar sambutan Aidilfitri saya bersama keluarga pada tahun ini.
“Saya lebih mengambil berat terhadap apa yang berlaku kepada rakyat Palestin berbanding memuat naik gambar terbaik pada hari raya dalam Instagram.
“Perkara itu adalah yang paling kurang penting buat saya pada masa ini,” kata penyanyi dan komposer terbabit menerusi luahan menerusi media sosialnya.
Terdahulu, Faizal yang aktif melaksanakan misi kemanusiaan membabitkan rakyat Palestin turut lantang mengutuk serangan udara rejim Zionis di bumi Gaza.
Bapa kepada enam cahaya mata itu pernah dilantik oleh TV3 sebagai Duta Bebaskan Bumi Palestin yang membawanya menjelajah Jaluran Gaza pada pertengahan 2010.
Justeru, kejadian serangan pada malam 7 Mei lalu yang mengorbankan ratusan mangsa termasuk tiga kanak-kanak sangat menyentuh sanubarinya seperti jutaan masyarakat dunia.
Sehingga kini, selepas tujuh hari tentera Israel meneruskan serangan, korban semakin meningkat membabitkan nyawa 145 korban dengan 41 daripadanya ialah anak kecil.
Faizal, 42, turut menegaskan jika ada orang lain yang ingin berkongsi gambar sambutan Syawal masing-masing, perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.
“Teruskan saja jika anda ingin berbuat demikian (muat naik gambar raya). Jika itu dirasakan sebagai sesuatu yang baik dan boleh memberi kegembiraan terhadap diri sendiri dan orang lain, teruskanlah.
“Buat masa ini saya mempunyai perkara lain yang lebih saya prihatin. Mungkin jika waktunya sudah tiba, saya akan melakukan perkara sama,” tambahnya lagi. – K! ONLINE