PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihati supaya tidak mengambil produk Ivermectin untuk rawatan dan pencegahan Covid-19 berikutan tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaannya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memaklumkan setakat ini tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan manusia.
“Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) belum pernah meluluskan indikasi Ivermectin bagi rawatan ataupun sebagai pencegahan Covid-19. Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel bertajuk ‘Why you should not use Ivermectin to treat or prevent Covid-19’ bertarikh 3 Mei 2021.
“Selain itu, Agensi Perubatan Eropah (EMA) juga mengambil pendekatan sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan dalam merawat atau mencegah Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya lagi, ia sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk ‘EMA advises against use of Ivermectin for the prevention or treatment of Covid-19 outside randomised clinical trials’ pada 22 Mac.
“Setakat ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian atau percubaan klinikal sahaja berdasarkan penjelasan dalam artikel bertajuk ‘WHO advises that Ivermectin only be used to treat Covid-19 within clinical trials’ pada 31 Mac.
“Oleh itu, memandangkan penularan wabak Covid-19 semakin meningkat di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) tiada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin bagi tujuan percubaan klinikal sahaja di negara ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KKM sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dalam mengharungi pandemik ini dengan memberikan perhatian penuh kepada rawatan dan pencegahan Covid-19 yang diluluskan untuk kegunaan rakyat di negara ini.
“Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah langkah paling efektif pada masa ini untuk mengawal penularan wabak di Malaysia,” katanya. – K! ONLINE