LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp optimis skuad bimbingannya mampu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat teratas dengan syarat menang baki tiga perlawanan selepas ini.
Klopp, 53, meluahkan keyakinan itu kerana bakal bertemu tempat ketiga tercorot, West Bromwich Albion di Stadium The Hawthorns malam ini sebelum menentang dua pasukan pertengahan liga, Crystal Palace dan Burnley pada 20 serta 23 Mei depan.
“Liga Juara-Juara masih boleh dicapai jika pemain memanfaatkan tiga perlawanan selepas ini. Saya positif kami masih boleh melakukannya tetapi sekarang fokus perlu diberi kepada perlawanan menentang West Brom dahulu,” katanya.
Semangat Liverpool kini membara selepas berjaya menewaskan Manchester United 4-2 menerusi dua jaringan Roberto Firmino dan masing-masing satu daripada Diogo Jota serta Mohamed Salah di Stadium Old Trafford kelmarin.
Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu enggan memandang rendah kemampuan West Brom walaupun skuad kendalian Sam Allardyce itu sudah tersingkir ke saingan Liga Kejuaraan Inggeris musim depan.
“Sam (Allardyce) telah menjalankan tugasnya dengan baik walaupun tuah tidak memihak kepada West Brom. Cara mereka bermain boleh mendatangkan masalah kepada anda.
“Saya percaya ia bakal menjadi satu perlawanan yang rumit buat kami. Saya harap para pemain bersedia sebaik mungkin untuk meraih keputusan positif dalam aksi ini,” jelasnya.
Jika menang, The Reds yang ketika ini menghuni kedudukan kelima, akan ketinggalan satu mata dengan pasukan tempat keempat, Chelsea dan tiga mata di belakang Leicester City di tangga ketiga.
Liverpool mampu layak ke Liga Juara-Juara jika menang ketiga-tiga perlawanan nanti memandangkan Chelsea dijadualkan menentang Leicester City awal pagi Rabu ini. – AGENSI