fbpx

Guardiola ‘terpukau’ prestasi hebat Torres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TORRES (kiri) muncul wira City apabila meledak hatrik dalam kemenangan 4-3 ke atas Newcastle di St. James Park awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji impak pemain muda sensasi, Ferran Torres yang meledak hatrik pertamanya membantu pasukan itu menang 4-3 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium St. James Park itu, Torres berada dalam kelas tersendiri bagi memastikan City meraikan kejayaan menjuarai EPL musim ini dengan penuh bergaya selepas mengutip 83 mata daripada 36 perlawanan.

Kata Guardiola, persembahan pemain berusia 21 tahun itu sa­ngat luar biasa meskipun jarang mendapat minit permainan sejak berhijrah menyertai The Citizens daripada kelab La Liga, Valencia tahun lalu.

“Saya teruja menyaksikan ketajaman penyudah Torres yang telah membuktikan pelaburan kami mendapatkannya cukup berbaloi. Meskipun dia jarang ­beraksi dalam dua bulan ini tetapi tahap keyakinan serta motivasinya tidak pernah pudar.

“Kebolehannya beraksi di pelbagai posisi adalah kelebihan buat kami. Dia bukan sahaja selesa selaku pemain sayap tetapi sebagai penyerang utama di posisi No. 9,” katanya.

Satu lagi gol City dalam aksi itu dijaringkan Joao Cancelo, manakala tiga jaringan Newcastle diperoleh menerusi Emil Krafth, Joelinton serta Joe Willock.

Mengulas lanjut, Guardiola mengakui pasukannya telah bermain baik meskipun bolos tiga gol dan berharap mereka dapat meneruskan momentum sama dalam baki dua aksi menentang Brighton dan Everton.

“Kami mengharungi jadual yang cukup padat, jadi bolos tiga gol bukanlah satu isu besar apatah lagi selepas kejuaraan liga menjadi milik kami. Saya harap pasukan dapat terus cemerlang dalam baki dua perlawanan nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI