KULAI – Muzik kuat dan lampu kelip-kelip membantu polis membongkar satu parti minuman keras di sebuah premis beralamat di Jalan Cyber 16, Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3 di sini tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, serbuan terhadap premis berkenaan dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Lapangan Terbang Senai, pada pukul 12.01 tengah malam.
Katanya, serbuan yang dibuat mendapati seorang lelaki tempatan sedang berada di kaunter dan seramai 51 pelanggan termasuk 47 warga asing dalam premis berkenaan.
“Ketika serbuan dibuat, kesemua mereka sedang meminum minuman keras tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.
“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki dan lapan wanita Indonesia, lima lelaki India, dua lelaki Pakistan, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh.
Tambah beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah televisyen, sebuah pembesar suara, dua mikrofon, sebuah modem dan buku catatan hutang pelanggan.
“Kesemua suspek yang ditahan kini dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B dan 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021,” ujarnya.52 berpesta arak dicekup polis
Sementara itu, Beng Yeow turut meminta semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang aduan dan maklumat kepada pihak polis berhubung sebarang salah laku di kawasan mereka,” katanya.-K! ONLINE