GEORGE TOWN – Kira-kira 15 penduduk Kampung Rawana, Jalan P. Ramlee di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kampung tanpa penghuni berhampiran kediaman mereka petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, kesemua penduduk yang masing-masing dikatakan sedang berehat di dalam rumah telah dikejutkan dengan jeritan api oleh seorang penduduk dari luar pekarangan rumah.
Penduduk terbabit menyedari kelibat api dari bahagian tengah rumah itu semasa melalui kawasan berkenaan kemudiannya terus memaklumkan kepada jiran berdekatan untuk membantu menghubungi pasukan bomba.
Kesemua penduduk dikatakan berlari sehelai sepinggang ke kawasan luas berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan api sedang marak.
Difahamkan, kediaman berkenaan ditinggalkan penghuninya sejak lebih 10 tahun lalu.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 3.24 petang tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran yang melibatkan sebuah rumah kelas C dengan anggaran keluasan 80 kaki persegi itu musnah terbakar sehingga 90 peratus.
“Pasukan bomba mengambil masa hanya 14 minit untuk mengawal serta memadamkan kebakaran melibatkan kediaman tanpa penghuni terbabit.
“Penduduk mendakwa, kejadian berlaku kemungkinan berpunca daripada aktiviti terlarang iaitu bermain mercun atau penyalahgunaan dadah di dalam kediaman tersebut
“Kejadian kebakaran itu turut melibatkan kemusnahan sebuah motosikal yang ditinggalkan berdekatan kediaman itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, tiada sebarang kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kebakaran itu. – K! ONLINE