RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 mendedahkan ramai remaja berusia 18 tahun di sini dikesan terlibat dengan aktiviti jenayah penyeludupan ekoran tiada peluang pekerjaan ketika ini.
Pegawai Pemerintah Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, penglibatan golongan berkenaan berpunca daripada masalah peluang pekerjaan akibat penularan wabak Covid-19 sehingga menyebabkan banyak sektor ditutup.
Menurutnya, maklumat itu hasil soal siasat yang dilakukan PGA terhadap golongan remaja selepas mereka ditangkap menerusi Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
“Kebanyakan remaja yang terlibat (penyeludupan) adalah mereka yang gagal dalam pelajaran.
“Siasatan lanjut mendapati, upah yang diterima mereka bergantung kepada risiko dan jenis barang yang dibawa,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA, Lubok Stol di sini hari ini.
Azhari memberitahu, sekiranya membawa barangan kontraban seperti rokok, mereka hanya menerima upah sekitar RM20 dan ke atas.
“Meskipun tahu risiko yang bakal diterima, namun mereka tetap melakukannya demi kelangsungan hidup.
“Setakat ini, tiada kes berulang melibatkan remaja yang terlibat dalam aktiviti tersebut,” ujarnya.
Azhari berkata, PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dalam usaha membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan.-K!ONLINE