PETALING JAYA – Seorang lelaki yang memiliki 14 rekod jenayah dan enam rekod dadah ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah masuk premis perniagaan serta curi kenderaan pada Rabu lalu.
Tangkapan telah dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah sekitar Batu Caves.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 8 Mei lalu kira-kira pukul 9.30 pagi telah berlaku satu kejadian pecah masuk di sebuah pejabat sekitar Kelana Jaya.
“Pengadu yang juga seorang pengurus berusia 33 tahun di premis perniagaan berkenaan telah menyedari mangga pintu besar dan pintu masuk telah dirosakkan.
“Keadaan premis juga berada dalam keadaan berselerak. Sebuah kereta dan pelbagai harta benda di pejabat terbabit juga telah dicuri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bertindak atas maklumat, polis telah membuat tangkapan ke atas suspek warga tempatan berusia 31 tahun di sekitar Batu Caves.
“Hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat, beberapa kes pecah masuk premis perniagaan dan kes curi kenderaan di sekitar kawasan Kelana Jaya.
“Suspek juga telah melarikan diri dari pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 di bawah Seksyen 15(4) di Dungun, Terengganu,” jelasnya.
Dalam pada itu, polis turut merampas barangan yang disyaki dicuri suspek dan rakan sejenayahnya.
“Antara yang dirampas ialah dua buah kereta jenis Mercedes Benz dan Range Rover bernilai kira-kira RM700,000, sebuah motosikal Yamaha 135 LC dan telefon bimbit pelbagai jenama(5).
“Usaha mengesan seorang lagi rakan suspek, Muhammad Aris Alinudin atau dikenali sebagai ‘Aris’, 25, yang memiliki 17 rekod jenayah dan tiga rekod dadah juga sedang giat dilakukan,” tegasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A kanun yang sama kerana curi kenderaan. – K! ONLINE.