fbpx

Polis pantau laman sosial dedah laluan tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso (kanan) memeriksa kenderaan di SJR di Kilometer 3, Jalan Gelung Pepuyu-Beruas di Parit.

PARIT – Polis akan memantau hantaran di media sosial yang mendedahkan ‘laluan tikus’ kepada pengguna jalan raya untuk merentas daerah di kawasan Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, sekatan jalan raya (SJR) akan diadakan di laluan yang dikenal pasti digunakan orang ramai yang mahu merentas daerah namun tidak memiliki surat kebenaran.

Katanya, SJR di Kilometer 3, Jalan Gelung Pepuyu-Beruas yang didirikan semalam adalah hasil maklumat ‘bocor’ di laman sosial.

“Lokasi SJR terbaharu itu merupakan jalan yang menghubungkan daerah Perak Tengah dengan Manjung dan Taiping.

“Selepas ia tular, kita telah pun membuat pemeriksaan mengejut dan hasilnya lima kompaun dikeluarkan bagi kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mereka yang dikenakan kompaun itu tinggal di daerah luar dan memberi pelbagai alasan semasa ditahan termasuk mahu menghantar laksa ke rumah datuk, melawat ibu dan tidak tahu mengenai larangan rentas daerah.

Katanya, kompaun berjumlah RM5,000 setiap seorang dikenakan di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Semasa pemeriksaan di lokasi tersebut, sebanyak 74 kenderaan diperiksa dan 23 kenderaan diarah berpatah balik.

“Selain SJR di kawasan tersebut, kita turut mengadakan dua SJR lain di Jalan Bota-Teluk Intan di Kampung Gajah dan Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Universiti Teknologi Petronas,” katanya.

Tambah beliau, pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan ‘snap check’ serta rondaan bagi cegah jenayah akan dijalankan seperti biasa di kawasan laluan yang berpotensi menjadi laluan alternatif walaupun agak jauh.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI